Pada zaman dahulu Sang Kancil adalah merupakan
binatang yang paling cerdik di dalam hutan. Banyak binatang-binatang di
dalam hutan datang kepadanya untuk meminta pertolongan apabila mereka
menghadapi masalah. Walaupun ia menjadi tempat tumpuan binatang-
binatang di dalam hutan, tetapi ia tidak menunjukkan sikap yang sombong
malah sedia membantu pada bila-bila masa saja.
Suatu
hari Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan untuk mencari makanan.
Oleh kerana makanan di sekitar kawasan kediaman telah berkurangan Sang
Kancil bercadang untuk mencari di luar kawasan kediamannya. Cuaca pada
hari tersebut sangat panas, menyebabkan Sang Kancil berasa dahaga kerana
terlalu lama berjalan, lalu ia berusaha mencari sungai yang berdekatan.
Setelah meredah hutan akhirnya kancil berjumpa dengan sebatang sungai
yang sangat jernih airnya. Tanpa membuang masa Sang Kancil terus minum
dengan sepuas-puasnya. Kedinginan air sungai tersebut telah
menghilangkan rasa dahaga Sang Kancil.
Kancil
terus berjalan-jalan menyusuri tebing sungai, apabila terasa penat ia
berehat sebentar di bawah pohon beringin yang sangat rendang di sekitar
kawasan tersebut. Kancil berkata didalam hatinya "Aku mesti bersabar
jika ingin mendapat makanan yang lazat-lazat". Setelah kepenatannya
hilang, Sang Kancil menyusuri tebing sungai tersebut sambil memakan
dedaun kegemarannya yang terdapat disekitarnya. Apabila tiba di satu
kawasan yang agak lapang, Sang Kancil terpandang kebun buah-buahan yang
sedang masak ranum di seberang sungai."Alangkah enaknya jika aku dapat
menyeberangi sungai ini dan dapat menikmati buah-buahan tersebut" fikir
Sang Kancil.
Sang
Kancil terus berfikir mencari akal bagaimana untuk menyeberangi sungai
yang sangat dalam lagi deras arusnya. Tiba-tiba Sang Kacil terpandang
Sang Buaya yang sedang asyik berjemur di tebing sungai. Sudah menjadi
kebiasaan buaya apabila hari panas ia suka berjemur untuk mendapat
cahaya matahari.Tanpa berlengah-lengah lagi kancil terus menghampiri
buaya yang sedang berjemur lalu berkata " Hai sabahatku Sang Buaya, apa
khabar kamu pada hari ini?" buaya yang sedang asyik menikmati cahaya
matahari terus membuka mata dan didapati sang kancil yang menegurnya
tadi "Khabar baik sahabatku Sang Kancil" sambung buaya lagi "Apakah yang
menyebabkan kamu datang ke mari?" jawab Sang Kancil "Aku membawa khabar
gembira untuk kamu" mendengar kata-kata Sang Kacil, Sang Buaya tidak
sabar lagi ingin mendengar khabar yang dibawa oleh Sang Kancil lalu
berkata "Ceritakan kepada ku apakah yang engkau hendak sampaikan".
Kancil
berkata "Aku diperintahkan oleh Raja Sulaiman supaya menghitung jumlah
buaya yang terdapat di dalam sungai ini kerana Raja Sulaiman ingin
memberi hadiah kepada kamu semua". Mendengar saja nama Raja Sulaiman
sudah menggerunkan semua binatang kerana Nabi Sulaiman telah diberi
kebesaran oleh Allah untuk memerintah semua makhluk di muka bumi ini.
"Baiklah, kamu tunggu di sini, aku akan turun kedasar sungai untuk
memanggil semua kawan aku" kata Sang Buaya. Sementara itu Sang Kancil
sudah berangan-angan untuk menikmati buah-buahan. Tidak lama kemudian
semua buaya yang berada di dasar sungai berkumpul di tebing sungai. Sang
Kancil berkata "Hai buaya sekelian, aku telah diperintahkan oleh Nabi
Saulaiman supaya menghitung jumlah kamu semua kerana Nabi Sulaiman akan
memberi hadiah yang istimewa pada hari ini". Kata kancil lagi
"Beraturlah kamu merentasi sungai bermula daripada tebing sebelah sini
sehingga ke tebing sebelah sana".
Oleh
kerana perintah tersebut adalah datangnya daripada Nabi Sulaiman semua
buaya segera beratur tanpa membantah. Kata Buaya tadi "Sekarang
hitunglah, kami sudah bersedia" Sang Kancil mengambil sepotong kayu yang
berada di situ lalu melompat ke atas buaya yang pertama di tepi sungai
dan ia mula menghitung dengan menyebut "Satu dua tiga lekuk, jantan
betina aku ketuk" sambil mengetuk kepala buaya begitulah sehingga kancil
berjaya menyeberangi sungai. Apabila sampai ditebing sana kancil terus
melompat ke atas tebing sungai sambil bersorak kegembiraan dan berkata"
Hai buaya-buaya sekalian, tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu
semua dan tidak ada hadiah yang akan diberikan oleh Nabi Sulaiman".
Mendengar kata-kata Sang Kancil semua buaya berasa marah dan malu
kerana mereka telah di tipu oleh kancil. Mereka bersumpah dan tidak akan
melepaskan Sang Kancil apabila bertemu pada masa akan datang. Dendam
buaya tersebut terus membara sehingga hari ini. Sementara itu Sang
Kancil terus melompat kegembiraan dan terus meniggalkan buaya-buaya
tersebut dan terus menghilangkan diri di dalam kebun buah-buahan untuk
menikmati buah-buahan yang sedang masak ranum itu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar